Tuesday, May 7, 2013

Sky oh Sky

Assalamualaikum semua.

Ni nak cerita kesedihan hati ni (alahai) sebabnya balik dari kerja saya pun pergi la menjenguk kucing-kucing dekat rumah mereka. Macam biasa, semua mengiau mintak makan. Yang bestnya bunyi-bunyian dari loceng yang saya pasangkan untuk mereka semua bunyi cing-cing-cing dari setiap sudut. Rindunya dekat anak-anak mummy ni ea seharian tak jumpa.

Tapi dalam ramai-ramai tu Sky aka hero pujaan Malaya dan anak teruna saya tu kurang sihat, dia kena FLUTD ataupun nama panjangnya Feline Lower Urinary Tract Disease. Disebabkan saya bekerja dan susah nak dapat cuti hari biasa, terpaksalah saya rawat dia sendiri. Guna petua untuk penyakit batu karang. 

Mula-mula saya blend kan aje lobak putih yang dibeli dari Cold Storage yang sememangnya gerenti segar-bugar. Saya guna mesin buat jus buah mak saya punya. Bila mak saya tengok lobak tu dalam peti ais dia ingat saya beli untuk masak. Nasib dia tak masak untuk dinner, hehe.




Lepas dah blend tu, saya campur sikit air suam dan letak gula sikit (buat penyedap rasa). Kemudian timbullah rasa ingin merasa macam mana la rasa ubat untuk kucing saya ni. Sedap ke tidak ye. Saya pun ambil sudu dan mula merasa suapan pertama. Bila ditelan liquid tu Ya Allah terkejut betul saya rasa dia seakan-akan minum air cili yang ada gas (hah macam mana tu?). Untuk mendapat kepastian saya pun tanya la mak saya yang baru je nak lena dibuai mimpi betul ke rasa lobak putih macam tu. Mak saya pun cakap ha'ah memang rasa dia pedas-pedas sikit, takde apa lah tu.

Berbekalkan perasaan berdebar-debar saya pun mulakan langkah nak bagi Sky ubat tu, mudah-mudahan Allah sembuhkan lah anak mummy sorang ni ya sayang. Saya pun balut badan Sky dengan tuala in case kalau dia menggelabah dah mencakar tangan saya yang sudah tersedia banyak parut cakaran manja anak-anak ni. Mula-mula Sky marah la sebab badan dia dah kena balut, tapi bila saya mulakan suapan syringe pertama, dia mula menggelupur sikit dan mulutnya berbuih. Itu perkara biasa bagi kucing (saya baca dekat internet) kalau diorang minum ubat ni. Susah sikit la untuk Sky telan syringe petama sebab banyak buih keluar dari mulut dia. Tapi lepastu saya cuba lagi bagi 2 syringe penuh, Alhamdulillah dia telan walaupun saya sendiri dah tahu rasa dia macam mana. Sambil suap dia dengan ubat tu mengalir air mata ni tak tahan sedih tengok Sky telan je ubat tu sambil mengiau.

Saya cuba tenangkan Sky dengan belai kepala dia, kesian tengok si gemok ni sakit. Lepastu saya paksa dia minum air kosong banyak-banyak supaya hilang la rasa pedas air ubat tadi tu. Kemudian saya check dia punya tonet memang ada serpihan kristal putih dekat situ. Harapnya esok kesan air lobak putih tu dapat hancurkan kristal yang ada dalam saluran kencing Sky. Nak bawak dia pergi jumpa vet, saya baca dekat internet kos rawatan dia mencecah RM500. Memang tak mampu, yang mampu saya buat ialah rawatan macam ini je, harap-harap Sky akan sembuh dengan kehendakNya. Amin.


Monday, April 29, 2013

Reminder to My Sisters


Peringatan untuk kakak-kakak dan adik-adik sekalin, bacalah ayat di atas. 
Semoga kita semua berada di bawah rahmat Allah s.w.t insyaallah.

Thursday, April 4, 2013

Sengihan Kerang

Assalamualaikum

Kadang-kadang masa tengah leka buat kerja,saya mengelamun sekejap. Bila mengelamun, mula lah saya teringat benda-benda kelakar masa kolej dulu dengan kawan-kawan. Dengan tak semena-mena saya tak perasan yang saya tengah menyengih macam kerang seorang diri di ceruk kedai.

Kemudian staff yang lain pun tengok saya dengan reaksi yang agak pelik.
Kemudian pun saya malu sendiri, tapi saya masih tergelak dan buat-buat gelak sebab ternampak sesuatu yang kelakar. (Padahal tak habis gelak lagi sebab hal mengelamun tadi)
Kemudian saya buat-buat minum air dekat pantri belakang dan terus menelangkup muka dengan tudung. 

Astaghfirullah, malunya! (Malu okey)

Tuesday, March 26, 2013

Not For Sale

Assalamualaikum warahmatulahiwabarakatuh
(jawab Bedah jangan tak jawab)

Okey first of all, saya tak tahu nak letak tajuk apa untuk entry ini, jadi saya terlihat perkataan itu pada buku nota saya. Otak saya sepertinya disumbat-sumbat dengan banyak (banyak maksudnya banyak okey) maklumat mengenai syarikat baru. Biasalah, bisnes yang sentiasa dipenuhi orang, tangan dan kaki sentiasa bergerak, kita kena belajar semua benda yang harus dibuat dengan berdikari. Berkat belas kasih dari Allah s.w.t, sedikit-sedikit dapat lah cope dengan pekerjaan ini. Alhamdulillah, thank you Allah.

Tetapi yang kelakarnya, saya dapat uniform yang boleh dikategorikan sebagai "besau bebenau" sehingga sepertinya boleh disumbatkan seorang lagi saya dalam baju tersebut. Saya mampu tersenyum. Tapi baguslah sekurang-kurangnya saya boleh bergerak dengan senang lenang.

Kepada anda semua yang sudah bekerja dan mempunyai kerjaya, sentiasa ingat ;

- Kalau bukan kerana Allah, tak kerja lah aku hari ini.
- Kalau bukan kerana rezeki Allah, tak merasa lah aku gaji bulan ini.

Buatlah semua perkara kerana Allah, kerana kalau hati kita ikhlas membuat sesuatu pekerjaan, insyaallah hati kita sentiasa tenang semasa membuat kerja.

Kalau semasa berkerja kita terbuat silap (maklumlah kita ni manusia, tak lari dari buat silap) ucaplah Astaghfirullah , instead of s**t , d**n dan sebagainya yang anda paham-paham sendiri.

Buatlah sesuatu melalui hati yang ikhlas ya para pembaca.

Saturday, March 23, 2013

Bertemu Dugaan

Setelah membaca ruang iklan untuk kerja kosong dan membuat panggilan, aku pun dipanggil untuk hadir temuduga. Bertempat di Doeloe Gallery, yang dulunya kuingatkan sebuah rumah rupanya galeri menjual barang-barang antik & vintage. Terkesima kejap masa mula-mula masuk kawasan yang keseluruhannya bertemakan Bali. Macam resort pun ada (besar okey). Owner nya tersangat peramah dan lemah lembut. Sesi interview dimulakan dan alhamdulillah berjalan lancar. Sesi temuduga diakhiri dengan beberapa teguk air yang sedap sangat (dahaga bagai nak rak sebenarnya). Berharap dapat menjalankan tugas dengan baik, doakan saya juga ya.



Doeloe Gallery




Dan kenapa tiba-tiba rasa teringin nak bercuti di Bali ni?

Friday, March 22, 2013

Adopted

Setelah banyak kali memikirkannya, akhirnya saya buat keputusan menyerahkan Adik Toyat untuk adopsi. Sejarahnya begini, dia kebuluruan dan ada twins, tapi twins dia dah mati sebab lapar sangat kot. Mak dia entah ke mana hilangnya. Toyat ni mundar-mandir di halaman rumah dengan suaranya yang bising walaupun pada ketika itu dia hanyalah kitten yang kecik kemetot je. Didengar pulak dek saya yang pantang nampak kucing, lalu bagi dia makan, usap-usap dia. Bila Abah balik kerja dia tanya kucing siapa pulak ni (sebab saya suka bawak balik mana-mana kucing dekat rumah). Saya pun menyengih je, lalu beliau pun berkata "Cantik warna dia, kalau takde siapa-siapa punya, bela lah." Abah kesian dekat saya sebab beberapa hari sebelum tu saya kematian kitten warna hitam bulu kembang dek kerana digigit kucing jantan liar yang lain. Jadi, di situlah bermulanya kisah Toyat menjadi milikku. Kenapa nama dia Toyat, sebab Abah suruh bagi nama tu, dekat muka dia ada corak warna coklat yang cantik.

Saya bela dia sejak bulan Oktober 2012 sampai hari ni. Tujuan saya bagi dia dekat owner baru sebab saya tak nak dia terabai disebabkan anak-anak dekat rumah dah ramai. Jadi saya pun iklankan dekat petfinder.com seperti yang di bawah ni.


Kemudian tak sampai beberapa jam iklankan petang tadi, dah ada dua orang interested. Lalu Toyat pun dipersetujui untk di adopt oleh Mr. Bob. Semasa menunggu tuan baru sampai, saya pun meluangkan masa-masa terakhir dengan Toyat. Saya minta maaf dekat dia, kalau-kalau saya ni tak jaga dia dengan baik. Kadang-kadang saya termarah dia sebab gelojoh sangat time makan. Meleleh jugak la air mata ni, nak melepaskan sesuatu yang kita sayang. Lebih kurang pukul 10 malam tuan baru dia pun sampai, terus saya bawakkan Toyat masuk dalam carriage dia yang bercorak kuda belang (comel okey). Dan berlalulah Toyat bersama Mr.Bob tuan barunya. Dia agak tenang di dalam carriage, jadi serba sedikit membat hati saya pun tenang. 


                  

Saya yakin sangat tuan baru dia boleh jaga Toyat sebaik mungkin.
Toyat good girl tau sayang, mummy will always love you. 
Oct 2012 - March 2013

Tuesday, March 19, 2013

Hari Yang Tidak Dinanti

Hari yang tidak dinanti-nantikan oleh anak-anak saya, hari mandi. Hehehe, sudah dua hari pakai ubat spray tak mandi, jom kita basah lencun sama-sama. Disebabkan kesemuanya ada 12 ekor dalam rumah diorang, kenalah mandikan satu-satu. Takkan nak berjemaah ye tak, nanti tak bersih. Jadi terpaksa lah berulang -alik dari dapur ke belakang nak panaskan air. Diorang ni suka mandi air suam, kalau mummy ada duit nanti mummy beli hot shower untuk rumah korang ye.




Muka berharap dapat keluar.
Takde takde, kasi kering dulu baru boleh keluar.



Bila dah kering semua membongkang.


Wednesday, March 13, 2013

Sepetang Bersama DianPelangi & LuluElhasbu

Dipendekkan cerita 7 Mac yang lalu saya teman kawan saya pergi aktiviti minum petang bersama Dian & Lulu dekat Jalan Telawi, Bangsar. Pernah jugak dulu saya tau pasal DP (Dian Pelangi) ni sebab buat research pasal fesyen hijabi untuk assignment dulu & melalui blogger Malaysia. Beliau ada bakat di situ sebab saya terkesima melihat rekaan busana beliau dekat google. Tapi saya tak nak lepas peluang untuk jumpa DP depan mata.

Aktiviti yang dijalankan adalah shopping, hijab tutorial & minum petang. Mehla kita tengok gambar yang saya sempat snap.


Tadaa... inilah dia Dian Pelangi @ nama sebenar Dian Wahyu Utami.
Tengah buat kata-kata aluan kepada yang hadir.


DP & Lulu sedang berinteraksi & kongsi tips fesyen.


Walaupun umur kita sama, tapi ketinggiannya tidak sama.
Sempat shopping di situ.



Lulu ini rupanya model dekat Indonesia, baru saya tahu.


Inilah barisan blogger Malaysia yang dikenali, semua friendly belaka.
Kanan sekali tu kawan saya (yang saya kena teman tu, hehe)

Jangan lepaskan peluang!
Saya baca jugak nukilan Kak Shea di blog, best.


Akhir sekali sebahagian koleksi busana di butik DP.
Tunggu kali ke-2 saya datang I'll grab something ye.

Redha Itu Perlu



Kalau kita nak orang sedih & menderita sama macam yang kita rasakan hanya kerana perasaan tidak puas hati, maknanya kita salah kerana tidak ada rasa bersyukur dalam hati dan tidak redha dengan apa yang Tuhan uji.


Kita perlu ingat, redha Allah swt itu lebih baik dari mengejar pahala yang menggunung. Redha itu sendiri membawa maksud kita terima dengan tenang apa yang Allah bagi tak kiralah yang berupa peraturan (hukum) atau pun qada' iaitu ketentuan Allah swt.


Kadang-kala perkara kecik pun kita tak boleh nak redha. Misalnya :


Alaa siapa punya kerja ni pagi-pagi lagi dah mencuri kasut! Baru beli 2 hari lepas tak puas pakai lagi, dua ratus ingget kot.


Mungkin Allah swt nak tunjuk dekat kita, kasut mahal mana pun kalau tujuannya untuk kemewahan diri, untuk menunjuk-nunjuk dan bukan untuk kepentingan orang lain tidak akan ke mana. Mungkin lepasni boleh beli kasut yang lebih murah & berpatutan ke dak?


Hish dia ni time ni la mak cik nak sakit la nenek sakit la ada-ada je. Dah plan nak pergi holiday sama-sama tup2 kena cancel. Membazir duit booking je!


Kita tak akan pernah tahu hikmah disebalik kejadian yang melanda. Dibuatnya suatu hari nanti perkara sama jadi dekat kita, apa yang akan kita lakukan?


Jadi, kalau sesuatu perkara diluar dugaan berlaku, terima dengan tenang instead of panik tak tentu pasal, sedih yang terlampau atau marah tak tentu hala sampai kena post dekat wall setiap isi hati kita. Jangan, itu tak baik. Kena ingat, kita yang bertanggungjawab atas apa yang kita kerjakan di atas muka bumi ini sebagai hamba Allah swt.






Thursday, February 28, 2013

Kisah 3 Ketul Teddy Bear

Rindunya dekat dua ketul teddy bear ni. Dua-dua dah mati sebab kena batu karang (sedih tau) dua-dua pergi masa tengah tidur sebab kidney failure. Pocca pergi dulu, lepas beberapa hari baru Poce' ikut dia. Dulu kalau lepaskan kasi main dekat taman diorang suka lari bersepah-sepah. Tak lama lepas tu masuk balik rumah sebab nampak kucing jantan lain, penakut betul. Masa nak tanam satu-satu punyalah berat, yalah masa hidup suka sangat makan. Mummy harap korang rindu Mummy jugak dekat sana ya Poce' & Pocca sayang.



Poce' & Pocca

Fluffy Sky

Tinggallah beliau seketul ni ala cian dia takde kawan nak tidur sama-sama

Monday, February 25, 2013

Kempen Hijab 1

Kempen Hijab ku yang pertama. Ingin menggalakkan lebih ramai Melayu Islam di luar sana untuk berhijrah dan kembali menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Hijrah kerana Allah dan ikhlaskanlah hati kerana di dunia akhir zaman inilah akan timbulnya fitnah yang besar. Nauzubillah.





Berhijrah itu ada peringkatnya dan bukanlah secara mendadak. Tetapi harus diingat, jangan dilengahkan. Kepada yang baru berhijrah, alhamdulillah & syabas! Korang selangkah ke depan menuju jalan Allah. Berikan sokongan dan nasihat buat mereka instead of make fun of them.

Bukankah bersangka baik itu lebih baik?

Sunday, February 24, 2013

Akhir Kuliah


Hari-hari yang kulalui sejak hampir 3 tahun dulu kini sudah pun berakhir. Memegang nama pelajar jurusan Diploma Seni Reka Grafik Berkomputer, satu perkara hebat yang pernah singgah di dalam hidup ini. Alhamdulillah Ya Allah, dengan berkat kekuasaanMu akhirnya aku dapat tamatkan pelajaran. 

Perjalanana yang ku tempuh semenjak semester 1 hingga yang terakhir akan aku bawa dalam ingatan. Macam-macam hal yang terjadi baik yang manis mahupun yang buruk. Tapi itulah kenangan yang akan dibawa sehingga ke tua nanti. Ilmu yang aku dapat insyaallah aku praktikkan dalam pekerjaan. Pensyarah-pensyarah semua, jasamu ku kenang. Terutama yang tak memilih pelajar & sangat ambil berat akan kebajikan pelajarnya, sangat aku hormati.


Pertemuan dengan sahabat handai yang datang dan pergi semasa di kuliah adalah satu anugerah yang tidak ternilai. Andai diberi kesempatan, ingin aku ucapkan terima kasih kerana pernah membuat aku gembira dan tersenyum semasa perkenalan.Tidak lupa kepada sahabat yang pernah membantu di saat aku kesesakan & kesulitan, aku doakan pintu rezeki korang sentiasa terbuka luas. Allah sahaja yang mampu membalas budi baik korang. Syukran jazilan!


Bahagian terpenting disebalik kejayaan ini adalah saat penghijrahan hidupku ke jalan Allah. Menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslim pada bulan yang penuh rahmat, Ramadhan. Menjadi kebiasaan pada yang melihat aku buat pertama kali berhijab, ada yang terbuntang mata, ada yang tersenyum, ada yang tertawa, ada juga yang sudi menyanyikan lagu nasyid bila terserempak denganku di kampus.


Iyalah, dahulu aku dikenali dengan perwatakan ala-ala rock, lasak & peramah. Mereka mudah mendekati aku untuk berbual & bertanyakan hal assignment. Tapi aku berterima kasih kepada sahabat-sahabat Grafik yang menerima aku seadanya. Layanan mereka masih sama, cuma lebih beradab sedikit. Alhamdulillah.


Apa pun yang berlaku semasa hari-hari di kuliah, aku hargai setiap detik yang aku lalui. Pengalaman ini tidak mampu dibeli. Aku tahu perjalan ini bukan setakat Diploma, masih jauh ilmu yang mesti aku cari. Dengan izin Allah aku berharap dapat memperoleh rahmatNya dalam meneroka ilmu selagi hayat dikandung badan.


Kepada teman-teman semua, aku pohon maaf di atas khilaf yang berlaku sekiranya ada terkurang di mana-mana. Diri ini hanya seorang hamba yang membuat khilaf dan tidak sempurna. Mohon dihalalkan segala ilmu, makan & minum. 


Barakallah fi umrina

Syukur


ASSALAMUALAIKUM


Syukur Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana memberi satu lagi hari kepada diriku untuk meneruskan kehidupan nikmat yang diberi olehMu.

Entry kali ini cuma ingin meluahkan isi hati seorang hamba Tuhan di atas muka bumi ini.

Sebagai seorang yang sensitif aku akui memang mudah untuk beremosi. Kadang-kadang tengah tengok cerita yang ada babak sedih pun senang je air mata ni mengalir. Kadang-kadang bila marah, kita tak terjangka akan buat sesuatu yang tak pernah kita sangka akan buat.

Kesilapan sering kali berlaku dalam liku-liku hidup ini. Baik yang kecil mahupun yang memberi impak yang kuat kepada diriku. Aku pernah membuat orang mengalirkan air mata, marah padaku, malah ada yang benci. Tipu la kalau aku kata yang aku tidak pernah memikirkan langsung hal ini. Sungguh aku kesal sekali. Tapi Tuhan itu Maha Adil, aku cumah pohon doa dan mahukan setiap orang yang aku kenal dan yang kenal siapa aku dapat memaafkan kesilapanku suatu hari nanti baik yang diketahui mahupun yang tidak diketahui. Tak kira jika ia mengambil masa yang lama sekalipun. Hatiku sentiasa terbuka untuk berjumpa kalian kembali. Maafkan aku.

Itu terbukti yang aku ini hanya manusia lemah yang memerlukan kekuatan luar biasa untuk terus hidup. Ya, Tuhanku, bagiku Engkaulah kekuatanku yang sebenar. Tidak ada lain selain diriMu yang sentiasa mengetahui isi hatiku, apa yang ku fikirkan, apa yang kulakukan di atas bumi ini. Ingatkan aku disaat aku makin jauh dariMu ya Tuhanku.

Aku pernah kehilangan orang yang paling aku perlukan dalam hidup ini iaitu arwah Mama. Tiap masa aku selalu memikirkan dia, bagaimana dia di sana. Jatuh bangun aku dulu hanya kusandarkan segalanya kepada Mama. Tapi bila kini dia tiada di depan mata, barulah aku lihat kehidupan dari sudut yang lain. Allah itu lebih tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Aku jadi lebih utuh dari hari ke hari selepas pemergiannya berkat kesatuan hati adik-beradik yang kupegang hingga hari ini. Mungkin juga selepas dia pergi, aku mula belajar untuk jatuh dan bangun sendiri.

Aku cuma berharap perubahan ini bukanlah sekadar untuk dilihat tapi untuk dirasai oleh semua orang. Alangkah bagusnya kalau aku dapat beritahu semua orang bagaimana tenangnya jiwa dan rohani ku setelah berhijrah. Setiap air mata yang menitis adalah tanda kekesalan dan kesyukuran berbanding yang dulunya hanya mengalir tanpa sebab. Tidak pernah aku rasakan betapa indahnya hidup ini jika aku memulakannya dahulu. Cuma tanamkan saja dalam diri ini bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.


Ya Allah, terima kasih di atas nikmatMu yang indah.

New Chapter


Assalamualaikum
Blog baru ni dibuat sebab blog lama yang ditinggalkan selama setengah tahun lalu dah tak berfungsi. Mari bukak blog baru. Tujuan saya buat semula blog ni untuk luahkan nukilan hati atau salah satu cara untuk melepaskan tekanan mahupun meletakkan hasil seni yang pernah dibuat. Jadi kepada para pembaca, diharap korang menjalani hari-hari yang baik ye.